Wednesday, 17 August 2011

Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah SWT








Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan."
(Surah al-Fatihah: 5)


HURAIAN
Satu-satunya jalan bagi menyatakan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari pembalasan (hari Akhirat), ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepada-Nya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu'.

Tidak ada yang lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri selain kepada Allah Yang Maha Kuasa; juga tidak ada tempat lain kita memohon pertolongan selain dari Allah Yang Maha Pemurah.



Allah SWT memerintahkan kita supaya tidak menyembah selain-Nya, kerana Dialah sahaja Tuhan yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya. Manusia telah diberikan nikmat ilmu pengetahuan melalui akal fikiran yang waras. Manusia juga diberikan tenaga kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan.

Oleh itu, tanggungjawab manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, menuntut ilmu pengetahuan, berusaha dan bekerja dengan penuh tanggungjawab bagi mencapai sesuatu hajat yang diingini.

Semua usaha ini hendaklah disertakan dengan doa memohon bantuan pertolongan daripada Allah SWT. Setelah kita berusaha, berikhtiar dan berdoa, maka kita serahkan penentuan natijahnya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

KESIMPULAN



Ayat ini menjelaskan bahawa matlamat unggul kehidupan manusia ialah pengabdian diri secara mutlak kepada Allah SWT. Setiap perbuatan, tindak-tanduk dan usaha kerja yang dilakukan memerlukan kepada usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan. Hanya kepada Allah SWT sahaja kita berserah diri dan memohon pertolongan.


Artikel ini dipetik dengan izin daripada "Koleksi Artikel Tafsir - Siri 2" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2006.

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller