Semasa saya menulis di entri yang terbaru ini saya sedang bercuti di Taman Bukit Mas, Taiping Perak sambil menemani adik saya membiasakan dirinya dengan kawasan tempat kerja baharunya. Di taman tersebut, saya sekeluarga bersama ibu dan bapa, isteri serta ketiga-tiga cahaya mata saya menginap di rumah ibu saudara saya yang sangat mesra dengan panggilan Acik Yong.
Acik Yong ini sebenarnya adalah anak buah arwah datuk sebelah bapa saya yang berasal dari Gerik, Perak dan kini menetap di sini mengikut suaminya. Kedatangan kami sekeluarga disambut dengan penuh mesra dan semangat kekeluargaan oleh Acik Yong dan suaminya. Terima kasih kepada Acik Yong kerana menyediakan kami dengan bilik yang cukup selesa untuk beradu.
Semasa semuanya telahpun melayari bahtera mimpi, saya masih belum lagi terasa mengantuk dan di dalam bilik di mana keluarga saya tidur terdapat koleksi buku-buku yang menarik minat saya disusun kemas pada sebuah rak buku. Maklumlah, suami Acik Yong yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Long adalah seorang pesara Guru Besar. Sebuah buku telah mencuri tumpuan saya iaitu sebuah karya yang sangat kontroversi suatu ketika dahulu.
Karya tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah "DILEMA MELAYU" atau versi asalnya "MALAY DILEMMA" tulisan mantan PM kita iaitu Tun Mahathir Mohamad. Saya pernah terdengar dan terbaca di bibir-bibir akhbar tempatan yang mengecam hebat tulisan pemimpin negara yang tersohor itu tetapi pada ketika itu langsung saya tidak ambil pusing.
Tetapi ini adalah ketentuan Ilahi di mana akhirnya buku yang dilabel kontroversi ini telah bertemu jodoh dengan saya. Perlahan-lahan saya membuka satu-persatu helaian yang terdapat di dalam buku tersebut. Hati saya berdebar-debar, fikiran saya dihujani dengan beribu soalan mengapa buku yang saya pegang ini sangat kontroversi. Kemudian saya membaca sepintas lalu setiap bab yang ada dan daripada situlah saya telah mendapat gambaran awal.
Punca utama mengapa buku tersebut sangat menjadi kontroversi adalah disebabkan keberanian Tun Mahathir dalam mendedahkan sikap sebenar orang-orang Melayu yang menjadi punca kelemahan bangsa itu sendiri. Hal ini tidak dapat diterima oleh golongan Melayu pada ketika itu yang masih kuat berpegang kepada "..jangan main kat luar waktu malam...nanti ada hantu..".
Saya sempat menghabiskan Bab 1dan 2 di dalam buku tersebut dan pendapat peribadi saya adalah apa jua yang cuba disampaikan oleh Tun Mahathir sebenarnya adalah untuk menyedarkan orang-orang Melayu supaya "boleh main kat luar waktu malam...mana ada hantu.." tetapi ianya telah disalahanggapkan oleh sesetengah pihak.
Saya suka mengulas apa yang telah ditulis oleh Tun Mahathir di dalam bab 2 iaitu punca-punca utama mengapa berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Apa yang kebanyakan daripada generasi Y sekarang apabila disebut mengenai 13 Mei 1969 maka orang-orang Cinalah yang patut disalahkan, mereka yang memulakan segala-galanya. Mereka telah disekat daripada mengetahui bagaimanakah situasi sebenar peristiwa itu berlaku. Yang menghairankan mengapa ianya perlu didiamkan, mengapa generasi sekarang tidak patut membincangkannya? Timbul satu persoalan.
Jawapan yang anda cari adalah di dalam buku ini. Di dalam buku tersebut Tun Mahathir telah mengupasnya dengan sangat terperinci berdasarkan kepada penulisannya yang sangat optimis. Saya petik sedutan daripada perenggan di dalam buku tersebut dengan izin:
"...Kerajaan beranggapan bahawa orang Cina hanya berminat di dalam bidang perniagaan dan mengumpulkan harta, sementara orang Melayu hany mahu menjadi kakitangan Kerajaan. Anggapan yang salah ini telah menyebabkan wujudnya dasar-dasar yang merombak persefahaman yang tipis di antara orang Melayu dan bukan Melayu. Di samping itu juga, kerana terlalu bongkak dengan suara terbanyak, Kerajaan semakin tidak mahu mendengar langsung kritikan yang disuarakan oleh pihak pembangkang mahupun dari penyokong-penyokong Kerajaan sendiri. Jurang di antara Kerajaan dengan rakyat semakin meluas sehinggakan Kerajaan tidak lagi dapat menyelami perasaan rakyat atau mentafsirkannya dengan betul. Dengan itu Kerajaan tidak dapat merasakan perubahan radikal dalam pemikiran rakyat sejak kemerdekaan sehingga menjelang pilihanraya tahun 1969. Akhirnya apabila Kerajaan memenangi pilihanraya tahun 1969 hanya dengan majoriti yang merosot, Kerajaan amat terkejut hinggakan pertimbangannya pun tidak lagi sempurna. Maka berlakulah pembunuhan terhadap manusia dan pembakaran terhadap harta benda dan keadaan yang huru-hara pada 13 Mei, 1969. Di situlah letak silapnya. (Mahathir 1982: ms. 18)"
Kalau anda membaca dan menghayatinya, punca sebenar kepada berlaku peristiwa hitam itu adalah disebabkan oleh sikap Kerajaan sendiri pada ketika itu. Di situlah mengapa 13 Mei 1969 tidak lagi boleh diperbincangkan kerana ianya akan membuka aib Kerajaan yang memerintah pada ketika itu. Apa yang menyedihkan orang-orang Melayu dan Cina yang terpaksa membayar kepincangan Kerajaan pada ketika itu dengan darah.
Saya ingin menarik perhatian anda, sebenarnya peristiwa seumpama itu hampir berulang pada PRU 12 yang lalu di mana parti yang memerintah tidak memperolehi majoriti 2/3 yang menjadi azimat penting untuk mentadbir negara. Tetapi Alhamdulillah, rakyat Malaysia semakin matang, parti-parti yang menang dalam pilihanraya tersebut semakin bijak dan demokrasi semakin subur maka, spekulasi tersebut hanya menjadi khabar angin.
Walau apapun, khabar angin itu boleh menjadi taufan dan puting beliung jika tersilap langkah. Apa yang saya zahirkan melalui blog ini adalah pandangan peribadi daripada hati saya yang sangat cintakan keamanan dan bukannya mewakili mana-mana pihak. Pandangan saya ini sebenarnya saya tujukan kepada pengurusan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah supaya tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh generasi yang terdahulu kelak buruk padahnya.
Bukan mencari publisiti murahan dan bukan juga memprotes tetapi ianya cuma suatu pandangan yang ikhlas daripada hati saya. Apabila berlakunya sebarang kepincangan di dalam pentadbiran jangan sesuka hati untuk menuding jari kepada orang-orang bawahan tetapi bermuhasabah dirilah mencari puncanya. InsyaAllah di entri yang akan datang banyak lagi kupasan yang ingin saya kongsikan bersama-sama dengan anda mengenai "DILEMA MELAYU".
Bukan mencari publisiti murahan dan bukan juga memprotes tetapi ianya cuma suatu pandangan yang ikhlas daripada hati saya. Apabila berlakunya sebarang kepincangan di dalam pentadbiran jangan sesuka hati untuk menuding jari kepada orang-orang bawahan tetapi bermuhasabah dirilah mencari puncanya. InsyaAllah di entri yang akan datang banyak lagi kupasan yang ingin saya kongsikan bersama-sama dengan anda mengenai "DILEMA MELAYU".
Ada dipasaran lagi buku ni..??
ReplyDelete