Tanggal 17 November 2011 merupakan satu lagi detik bersejarah dalam hidupku. Hari tersebut adalah hari di mana anak sulungku Sayyidatun Nurulaisyah diraikan bersama teman-temannya yang lain dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu. Sebagai seorang bapa aku merasa bangga di atas pencapaian tersebut walaupun anakku berada di kedudukan nombor 8. Bagiku kedudukan itu hanyalah nombor yang tidak membawa makna apa-apa pun. Yang penting adalah anak-anakku boleh membaca dan mengira, itu yang lebih penting.
Tidak semestinya yang dapat nombor satu itu semuanya sempurna dan tidak semestinya yang dapat nombor 10 itu tak bagus. Kalau ada ibu bapa yang berfikiran begitu, bertaubatlah jangan terlalu taksub dalam menjulang pencapaian anak-anak dengan tak tentu pasal. Kejayaan anak-anak di masa hadapan bukan bergantung sepenuhnya kepada kedudukan di dalam kelas tetapi usaha dan perhatian yang berterusan daripada ibu bapalah yang menjamin mereka ini terus menjadi insan yang berhati mulia.
Setibanya aku di pintu utama SKUYB (singkatan bagi Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu) terus membuatkan diriku tersentuh....
Tiba-tiba aku merasakan yang diriku telah kembali menjadi pelajar SKUYB. Ini memang benar-benar berlaku setiap kali aku menjejakkan kaki ke bekas sekolahku itu. Ingatan aku masih segar dan kuat terhadap kenangan bersama-sama rakan sekelas dan guru-guruku yang teramat mulia peribadi (bukan seperti kebanyakan guru sekarang yang hanya mementingkan pangkat dan duit semata-mata).
Zaidi, Ismahadi (arwah), Zamri Yaakub, Zamri Md. Yunus, Fauzi, Farid, Che Sagaf, Ismanisam, Ridzuan, Hidayat, Saridah, Norliza, Paziah, Suhaila, Rohaiza, kalau aku terlupa ampunkan aku, masih segar dalam ingatanku. Setiap kali aku berjumpa atau terserempak dengan mereka ini aku merasakan yang diriku berada di waktu dan ketika 25 tahun yang lalu. Benarlah seperti kata orang, pengalaman semasa kita belajarlah pengalaman yang kita akan ingat buat selama-lamanya. Tetapi zaman itu dah berlalu dan zaman sekarang adalah zaman aku melihat generasiku meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan SKUYB yang aku cintai.
Walaupun sudah tidak kelihatan guru-guru yang mendidik aku sehingga berjaya ini, namun aku masih lagi terbayang-bayangkan kelibat mereka. Paling aku tidak boleh lupa adalah Cikgu Yahya yang mengajar aku Matematik dan Sains semasa aku di dalam Darjah 5. "Kepala bapak kau", "nenek kau", "mak kamu" dan "atuk kamu" sering diungkapkan oleh Cikgu Yahya di dalam kelas semasa beliau mengajar. Kepada para pembaca jangan disangka ungkapan tersebut dengan pandangan negatif, tetapi itulah kata-kata yang mendorong dan mendidik aku sehingga mendapat 4A 1B di dalam Penilaian Darjah 5. Bagiku anak-anak Melayu ni tak boleh dibentuk dengan kelembutan sebab nanti dia terus "meLAYU" sampai bila-bila.
Berbeza dengan sekarang, usik sedikit sudah mahu buat aduan sana dan sini, padahal anak-anak mereka yang jahat dan kurang ajar. Pesanku pada guru-guru Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu, JANGANLAH TERLALU MENGEJAR PANGKAT DAN DUIT, APA YANG PENTING ADALAH TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN TERUSKAN KESINAMBUNGAN KECEMERLANGAN YANG DITINGGAL OLEH GENERASI GURU YANG TERDAHULU!
Aku amat berharap agar anak-anakku pun akan meneruskan legasi keluargaku terhadap SKUYB ini, bermula daripada bapaku bekas Penolong Kanan 2 SKUYB, aku bekas pelajar SKUYB daripada Darjah 1 hingga 6, anak sulungku Sayyidatun Nurulaisyah di Tahun 3 dan bakal menjejakkan kakinya ke Tahun 4 dan anak keduaku Sayyidatun Nurulfarahiin bakal menjejakkan kaki ke Tahun 1 tahun 2012.
Farahiin di hadapan blok baharu SKUYB.
Aku di hadapan pokok bunga kertas.
Di bawah ini adalah gambar kantin SKUYB tempat di mana makan di waktu rehat dan pada zaman itu aku sempat merasai sendiri skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberikan kepada semua murid tanpa mengira latarbelakang keluarga.
Aku kagum kerana SKUYB masih lagi mengekalkan blok bilik darjah lama seperti yang anda lihat di bawah ini. Aku amat berharap binaannya terus berkekalan supaya ianya menjadi mercutanda betapa susahnya menimba ilmu pada waktu dahulu..tidak macam sekarang yang dilimpahi dengan kemewahan yang akhirnya menghancurkan.
Aku masih ingat lagi bila loceng rehat berdering, gelanggang di bawah inilah tempat aku dan rakan-rakan kelas bermain galah panjang. Seronoknya waktu di alam persekolahan dahulu.
Kedai Buku SKUYB ini dahulunya adalah tempat rawatan kepada pelajar-pelajar yang sakit dan juga ianya tempat di mana klinik pemeriksaan gigi bergerak dari sekolah ke sekolah bertandang.
Satu perkara yang menyentuh jiwaku adalah apabila aku melihat kepada logo SKUYB yang telah pudar dimamah usia ini. Aku rasa murid-murid yang sedang belajar di SKUYB memang tidak mengetahui langsung siapa yang membuatnya. Bukan murid sahaja aku rasa tetapi rata-rata cikgu di SKUYB ni tidak tahu...ye lah cikgu zaman sekarang kan. Kalau tuan-tuan dan puan-puan nak tahu pembuat logo SKUYB tersebut adalah Allahyarham En. Mohd. Noor ataupun lebih mesra dikenali dengan Pakcik Tagek. Pakcik Tagek adalah seorang Tukang Kebun yang sangat berdedikasi, rajin dan tegas dalam menjalankan tugasnya seolah-olah sekolah ini adalah jiwanya. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas arwah Pakcik Tagek, Aminnnn.
Inilah tangga menuju ke pejabat SKUYB yang sedikit pun tidak berubah berbanding dengan di alam persekolahanku dahulu.
Akhirnya, saat-saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Anakku Sayyidatun Nurulaisyah menerima hadiah daripada Pegawai PPD Daerah, Tn. Hj. Sameon.
Kebanggaanku kini mula mengorak langkah menyusuri masa hadapan yang gilang gemilang.
Dua orang puteriku yang sangat aku sayang, Sayyidatun Nurulfarahiin dan Sayyidatun Nurulaisyah.
Seketika aku kembali ke zaman persekolahanku, walaupun seketika namun ianya sudah cukup meruntun air mata hatiku hiba dan sayu mengenangkan betapa aku adalah seorang yang bertuah lahir daripada SKUYB yang sangat kubanggakan. Aku rindukan, suasananya, pokok-pokoknya, padangnya dan yang paling penting kenanganku sebagai insan yang terpelajar bermula daripada sini, SKUYB dihatiku.
Aku berjanji kepada Allah s.w.t. selagi hayat dikandung badan, aku akan pastikan SKUYB tetap berdiri kukuh di muka bumi dan memelihara kepentingannya hinggalan tiupan sangkakala diperintahkan-Nya. Terima kasih SKUYB kerana menjadikan aku seorang insan yang membanggakan kedua ibubapaku.
Yang benar:
Mr. Zaril Faizal b. Zaral Gaffar
18 November 2011
No comments:
Post a Comment