Wednesday, 14 November 2012

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah


1 Muharram bersamaan dengan 15 November 2012 esok merupakan genapnya 1434 tahun penghijrahan junjungan besar kita Rasulullah S.A.W. dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Di hari yang sama itu juga terciptanya satu sejarah penting di dalam sejarah peradaban umat Islam di mana bersatunya dua kaum utama di Kota Madinah pada ketika itu iaitu Ansar dan Muhajirin menandakan bermulanya detik kegemilangan dan keagungan agama Islam yang kita anuti. 

Begitulah sumbangan besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam menyebarkan agama Allah kepada umat manusia di seluruh dunia. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Washington, Amerika Syarikat pada tahun 2012 yang dipetik daripada Ustaz Badli Shah Alauddin (Jabatan Kemajuan Islam Negeri Pahang) dalam Forum Khas sambutan Maal Hijrah yang disiarkan oleh TV3 bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur bermula jam 6.00 petang hari ini, dianggarkan bahawa umat Islam di seluruh dunia berjumlah lebih daripada 1.6 billion. Ini merupakan satu statistik yang sangat memberangsangkan di mana tambahan beliau lagi, adalah dijangkakan pada tahun 2030 umat Islam akan terus berkembang sehingga mencecah jumlah sebanyak lebih daripada 2 billion.

Dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" bagi tahun baharu 1434 Hijriah yang dikirakan sangat bertepatan dengan suasana umat Islam di negara kita ini yang semakin diambang perpecahan disebabkan oleh perbezaan ideologi politik diyakini mampu membawa perpaduan sesama Islam ke satu tahap yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelummnya.

Dipetik daripada ucapan Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz pada majlis yang sama, dalam menggerakkan perpaduan Islam ke arah yang lebih jitu seluruh umat Islam di Malaysia ini hendaklah bersederhana dalam mempertahankan ideologi-ideologi politik jangan sehingga sampai ke satu titik perpecahan yang jelas. Tambahan beliau lagi, adalah lebih baik dan mulia jika seluruh umat Islam di negara ini mencari titik pertembungan dan persamaan walaupun berbeza pendapat dan ideologi politik daripada memperbesar-besarkan jurang di antara kedua-duanya.

Di sebalik kerendahan hati kita dalam menyambut tahun baharu Hijriah 1434 esok, masih ada di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan langsung ketibaannya berbanding dengan sambutan yang gilang-gemilang tahun baharu Nasrani yang kebiasaannya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti maksiat dan mungkar.

Begitulah umat akhir zaman yang semakin lama semakin jauh daripada aqidah dan landasan Islam yang sebenarnya walaupun penganutnya semakin bertambah tahun demi tahun. Jadi, di kesempatan yang masih ada dalam menyabut lebaran baharu di dalam kalender Hijriah, marilah bersama-sama kita berikrar untuk melakukan sesuatu yang lebih mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. daripada sesuatu yang menjauhi syurga-Nya tetapi semakin hampir dengan neraka-Nya.

Wallahua'lam bissawab.

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller