Friday, 3 May 2013

Pilihanraya Umum Datang Lagi!


Tanggal 5 Mei 2013 sememangnya satu tarikh keramat yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia untuk menentukan masa depan mereka di negara yang tercinta ini. Pada tarikh tersebutlah genap dan matangnya tempoh lima tahun pemerintahan kerajaan yang diungguli oleh Barisan Nasional selama 55 tahun sejak merdeka lagi. Tetapi sejak akhir-akhir ini angin mula bertiup kencang membawa berita akan bakal tumbangnya "pepohon tua" yang telah lama menggugurkan "daun keringya" di laman orang. Fakta ataupun persepsi hanya 5 Mei ini sahajalah yang akan dapat ditentukan.

Kelihatan juga perang poster telahpun bermula sejak daripada hari penamaan calon lagi ibaratnya seperti isu dengan kuku, tiada perang poster maka tiadalah pilihanraya. 30 Mac 2013 menandakan genap setahun saya berada dan berkhidmat di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah juga tidak terlepas peluang dalam merasai demam pilihanraya cuma di tempat yang sama sekali berbeza daripada kampung halaman saya. Dengan slogan "Ini KaliLah" yang sering dilaung-laungkan oleh masyarakat Sabah menunjukkan kemeriahan menghadapi PRU pada kali ini menjadi lebih hangat dan bertenaga. Suburkan demokrasi!

Pada saat-saat ini jugalah di mana-mana sahaja boleh dilihat calon-calon yang bertanding akan turun padang walaupun mungkin ada yang langsung tidak pernah nampak muka sebelum ini mula menabur manifesto masing-masing bagi menarik minat pengundi. Setiap ceramah yang dibuat akan penuh sesak dengan pengunjung tidak kira di pihak mana pun bagi mendengar apa yang ingin dibicarakan oleh sang penceramah itu. Tidak kurang juga caci maki dan hamburan yang berbaur perkauman juga seringkali dimainkan oleh calon-calon yang sangat taksub dengan parti anutannya. Asalkan tidak bermandi darah, biarkanlah.

Sesungguhnya, setelah 55 tahun merdeka, iklim politik di Malaysia sememangnya penuh dengan warna-warni peristiwanya baik yang putih mahupun yang hitam. Saat ini saya merasa agak kecewa kerana tidak dapat untuk bersama-sama di dalam memeriahkan PRU kali ke-13 ini kerana bermastautin di perantauan Sabah. Bukan tidak mahu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi berdaftar yang sah tetapi di dalam hal ini kepentingan keluarga adalah diutamakan. Cuma apa yang saya dapat lakukan adalah berdoa kepada Allah untuk memberikan kemenangan kepada calon yang menjadi pilihan hati ini. Siapa sahaja yang saya undi itu adalah hak mutlak peribadi saya tiada siapa yang boleh pertikai!

Saya juga mendoakan agar perjalanan PRU ke-13 pada Ahad ini akan berjalan lancar dan dihindari daripada sebarang anasir-anasir jahat yang ingin melihat negara kita hancur. Biarlah rakyat yang membuat keputusan, jangan dipaksa pilihan mereka. Proses pilihanraya cuma merupakan satu sistem yang perlu dilaksanakan dan bukannya sesuatu yang mutlak ataupun bersifat abadi melainkan Allah S.W.T. sahaja yang Maha Kekal Abadi selamanya. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia yang sudah jauh bertamadun, mengundilah dengan berhemah demi masa depan negara kita yang aman ini.

Kalah dan menang itu sememangnya adat bertanding. Jika kalah maka ada lima tahun untuk bangkit semula dan perbetulkan apa yang silap dan yang menang pula ada lima tahun untuk dibuktikan dan dikotakan segala janji manismu. Siapa pun yang kita pilih itu adalah hak peribadi masing-masing. Kita sebagai insan kerdil di sisi Allah S.W.T. tidak berhak sama sekali untuk menentukan siapakah yang harus pihak lain undi. Sesungguhnya Hari Akhirat jualah yang kekal abadi.

SELAMAT MENGUNDI KEPADA WARGA MALAYSIA!
AYUH SUBURKAN DEMOKRASI DI NEGARA KITA YANG DICINTAI!

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller