Friday 22 June 2012

Masa Hidup Jangan Dipersia-siakan



Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu seloba-loba manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup beribu tahun, padahal umur panjang yang demikian tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan".
(Surah al-Baqarah: 96)


HURAIAN
Masa berlalu tanpa kita sedari dan setiap detik bertambahlah usia kita. Sedangkan perjalanan usia akan sampai ke satu saat akhir yang pasti. Warna-warna keindahan dan keasyikan sering membuat manusia berimpian untuk hidup seribu tahun lagi, sedangkan usia yang panjang itu merupakan pemberian Allah SWT yang sewajarnya diisi dengan amal makruf dan kebajikan pada setiap kesempatan dan ruang kehidupan tersebut.

Sebaliknya bagi yang lanjut usia atau muda belia, sekiranya sepanjang hidupnya diisi dengan amalan sia-sia dan maksiat maka nantikanlah azab seksa yang dijanjikan Allah SWT. Usia yang ada perlu digunakan untuk menuntut ilmu dan melakukan sebanyak-banyak kebaikan yang memberi manfaat kepada manusia.

Amal kebajikan tidak sewajarnya ditangguh-tangguhkan perlaksanaannya. Ini kerana apabila nyawa sudah dihujung halkum maka sia-sia sahajalah segala harta kekayaan jika tidak digunakan untuk perkara kebaikan. Lakukanlah amal kebajikan sementara badan masih sihat dan umur masih panjang kerana ajal maut di tangan Tuhan dan tiada siapa yang tahu adakah ia akan hidup lagi keesokan hari.

KESIMPULAN
Setiap umat Islam perlu mengisi hidupnya dan memanfaatkan usianya dengan amalan kebaikan dan menjauhi larangan Allah SWT. Sesungguhnya antara perkara yang akan disoal sesudah mati ialah masa hidupnya dihabiskan untuk tujuan apa.


Artikel ini dipetik dengan izin daripada "Koleksi Artikel Tafsir - Siri 2" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2006.

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller