Tuesday, 21 August 2012

Menyambut Lebaran di Perantauan

Keluargaku berhari raya buat pertama kalinya di perantauan Sabah

29 Ogos 2012 yang akan menjelang tiba minggu hadapan ini bakal menandakan genap lima bulan usiaku menjejakkan kaki di bumi bertuah Sabah ini. Bercakap mengenai pengalamanku di sepanjang berada di sini memang tidak tergambar oleh perkataan. Begitu banyak kenangan pahit dan manis yang telah kulalui tatkala menabur bakti di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah ini.




Saban tahun tatkala aku masih berada di Semenanjung sering melihat dikaca televisyen dan di corong-corong radio insan-insan yang tidak dapat bersama-sama dengan keluarga yang terpaksa menyambut salam lebaran aidilfitri di perantauan atas urusan pengajian mahupun kerjaya. Tidak pernah terlintas dibenakku akan menghadapi situai seperti mereka itu.

Namun, Aidilfitri tahun ini telah membuka lembaran baharu di dalam diari kehidupanku. Buat pertama kalinya aku dan keluargaku menyambut hari lebaran di perantauan. Di keheningan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, fikiranku sering bermain-main dengan persoalan, bagaimanakah agaknya berhari raya di tempat orang? Seronok kah? Sedih kah atau kedua-duanya sekali? Namun begitu hatiku terus berdegup kencang untuk merasai pengalaman pertama di perantauan di Sabah ini.

1 Syawal 1433H yang jatuh pada 19 Ogos 2012 telah menjawab segala persoalan yang bermain-main difikiranku selama ini dan satu permulaan baharu di dalam kehidupanku telahpun aku lalui. Aku telahpun dengan izin Allah menyambut Hari Raya Aidilfitri di rantau orang, suatu pengalaman yang tidak pernah terlintas di dalam kamus hidupkup. Inilah asam garam berkhidmat dengan kerajaan, inilah manisnya bekerja dengan kerajaan. Peluang sebegini kalau tidak kerana tugas memang tidak akan tercapai sampai aku pencen di kemudian hari kelak.

Memang pada awalnya, jauh disudut hatiku memberontak untuk pulang ke Semenanjung bagi menyambut lebaran dan menziarahi saudara-maraku di Selangor dan Johor, namun apakan daya faktor kewangan yang sangat meruncing telah membataskan segalanya. Telinga siapa yang tidak tercuit apabila mendengar gelak tawa riang ria rakan-rakan sepejabat yang saban hari bercerita mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing seminggu awal sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri diumumkan. Cuma aku ini boleh dikategorikan insan yang agak beruntung kerana dapat bersama-sama dengan kedua ibubapaku dalam menyambut hari kemenangan umat Islam setelah sebulan berjihad dengan hawa nafsu.

Barisan belakang (dari kiri): Aku, isteriku, Mak Ndak, Aisyah (sepupu), Johan (menantu Pak Ndak), Pak Ndak, Bapaku. Barisan hadapan (dari kiri): Ain (sepupu), Ikin (sepupu), permata hatiku Farahiin, permata hatiku Aisyah, permata hatiku Zarif dan Ibuku.

Syukur juga aku panjatkan kepada Allah S.W.T. kerana aku dan keluargaku tidak keseorangan di Sabah ini. Kehadiran Pak Ndak ku sekeluarga selepas solat sunat Aidilfitri benar-benar mengubat hatiku yang pilu tidak dapat pulang ke kampung halaman di Semenanjung. Alunan takbir yang dibawa oleh Pak Ndak ku memecah kesunyian di kuarters Politeknik Kota Kinabalu ini menghanyutkan diriku seolah-olah sedang berada di Semenanjung. Hari Raya pertama di kuarters ku dimeriahkan lagi oleh kehadiran rakan-rakan sepejabat isteriku yang menerima nasib yang sama tidak dapat untuk berhari raya bersama sanak-saudara di Semenanjung.

Bertakbir di kuarters

Hidangan lazim Hari Raya yang memang tidak lapuk dek zaman

Keluarga Pak Ndak ku sebelum menjamu selera

Aku bersama para tetamu

Lagi tetamu yang hadir

Seronok melihat telatah anak-anak di Hari Raya

Kehadiran mereka telah mengubat hatiku yang dirundung pilu dan sedih menyambut di perantauan ini. Walaupun ibu dan bapaku bersama-sama denganku menyambut Hari Raya Aidilfitri di Sabah ini namun suasananya tidak sama jika menyambutnya di Semananjung bersama-sama dengan mereka. Begitulah pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Aku juga merasa sayu dan bangga kerana sedikit sebanyak kehadiran kami sekeluarga di hari lebaran ini telahpun membuka satu catatan yang baharu kepada keluarga Pak Ndak ku yang selama ini hanya bersendirian tanpa seorang waris dari Semenanjung pun yang hadir. Aku bangga kerana keluargaku adalah yang pertama berhari raya bersama dengan keluarga Pak Ndak ku dan aku amat mengharapkan agar adik-beradik ibuku akan turut mengikut jejak langkah kami ini. Aku mendoakan. Di keheningan petang yang menanti ketibaan tirai malam, hatiku tiba-tiba teringatkan rumah kesayanganku di Antara Gapi, teringatkan "anak-anak" ku iaitu pokok-pokok bunga yang kujaga rapi sejak dari kecil hinggalah besar..terus sahaja hatiku dihujani dengan air mata...bilakah lagi aku dapat bersama-sama dengan mereka...memberi mereka baja dan menyiram mereka setiap hari....hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui...

Sebuah catatan daripada,
Zaril Faizal Zaral Gaffar
Politeknik Kota Kinabalu, SABAH

2 comments:

  1. itu rumah mu di sabag nampak senang gak apo kata asmara heheh awat tak layan saya tak suka saya kita sama mengharungi kepayahan masa akan menentukan..

    ReplyDelete
  2. Wah U punya Blog sudah update totally different ma....manyak rajin.....wa pun merangkak lagi mau buat

    ReplyDelete


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller