Sunday, 21 October 2012

5 Perkara Penting Di Tempat Baharu

Sudah hampir dua bulan lebih lamanya saya tidak menulis di laman blog ini disebabkan oleh kesibukan rutin harian dan urusan di pejabat. Bila sekali terhenti menulis maka bermulalah sifat malas akan menular meresap masuk ke dalam jiwa ini untuk meneruskan kemalasan tersebut.

Saya ingin berkongsi dengan semua mengenai satu perkara yan pada zahirnya kita tidak beberapa ambil kisah pun. Pandangan dan nasihat saya apabila anda terutamanya yang bekerja sebagai penjawat awam yang akan berpindah atau "DIPINDAHKAN" di atas pelbagai alasan wajib ke tempat baharu wajib mendapatkan maklumat-maklumat berikut:
  1. Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (jika yang sudah berkeluarga ataupun anak),
  2. Hospital utama di sesebuah kawasan,
  3. Balai Polis yang berhampiran untuk dihubungi,
  4. Balai Bomba yang berhampiran untuk dihubungi, dan
  5. jiran paling hampir dengan tempat tinggal anda.




Pada dasarnya kelima-lima perkara di atas memanglah sesuatu yang bukan asing bagi kita tetapi sebagai manusia kita sememangnya selalu alpa mengenai hal-hal yang jarang-jarang berkepentingan ini. Sebagai contohnya anda akan pergi ke hospital apabila sakit atau isteri hendak bersalin, anda akan ke balai polis jika rumah anda telah dipecah masuk atau untuk membuat laporan kemalangan. Selain daripada permasalahan yang saya sebutkan tadi memanglah tempat-tempat tersebut tidak akan dikunjungi, memanglah pun!

Kenapa pentingnya anda wajib mengetahui tempat-tempat tersebut?

Baiklah, pada 20 Oktober 2012 yang lepas (semalam), bermulah satu lembaran lagi di dalam perjalananku sebagai seorang pendidik politeknik apabila anak ketiga saya, Muhammad Zarif Taqiyuddin, telah di masukkan ke Hospital Likas, Sabah kerana diserang demam panas. Anak saya yang seorang ini memang telah mempunyai rekod sebanyak 3 kali dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor kerana diserang demam panas yang menyebabkan sawan dan ini merupakan kejadian yang sama pertama kalinya berlaku di tempat baharu yakni Sabah.

Pada waktu tengahari 20 Oktober 2012, saya seperti biasa meminta isteri saya memeriksa suhu badan Zarif dan termometer digital menunjukkan tahap kepanasannya mencecah 37.5 darjah Celcius. Tanpa berfikir panjang saya terus bersiap untuk membawa anak saya itu ke hospital yang berdekatan kerana pengalaman yang lepas Zarif boleh diserang sawan jika suhunya melepasi 37 darjah Celcius.

Timbul satu persoalan, di hospital manakah perlu saya hantar? Mujurlah saya pernah berulang-alik dari Petagas ke Politeknik Kota Kinabalu ini di awal memulakan kehidupan di sini. Jadi saya memang perasankan susur keluar ke Hospital Likas di bulatan berhampiran dengan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, cuma tidak pernah hendak ke sana. Natijahnya adalah di situ memang ada satu hospital! Jadi saya membuat keputusan untuk ke Hospital Likas, bertepatan pula dengan pengkhususannya untuk wanita dan kanak-kanak.

Alhamdulillah, tidak sampai 15 minit, saya berjaya tiba di Hospital Likas, Sabah. Saya bersyukur kepada Allah walaupun pada peringkat awalnya anak saya hampir terkena sawan tetapi dengan pengalaman yang ada saya terus meredah masuk ke ICU bagi mendapatkan rawatan segera. Di hati ini ada juga timbul mahu memarahi HA yang memeriksa Zarif ini kerana membiarkan kami menunggu di luar walaupun pada ketika itu suhu badan anak saya sudah mencapai 38.6 darjah Celcius.

Sudahlah anak saya hampir terkena sawan, kemudian saya minta dirawat dengan segera dia pula yang panik! Kalau di Hospital Kuala Kubu Bharu memang saya dah azankan mereka ini tetapi ini tempat baharu jadi saya pendamkan sahaja. Lagipun bak kata orang putih, "it is unwise messing around with our new acquaintance". Itu satu hal, sesudah suhu badan anak saya turun, doktor yang merawatnya pula menyuruh saya mengambil ubat untuk pulang. Memanglah doktor ini hingusnya belum kering lagi, tetapi tidak mengapalah, saya maafkan jua. Mungkin kalau saya di tempat beliau pun akan membuat keputusan yang serupa.

Kesimpulannya di sini adalah jika kita tidak mengambil kisah mengenai 5 perkara yang nyatakan di atas tadi, apakah yang akan berlaku jika berlaku sebarang kecemasan atau permasalahan yang memerlukan perhatian dan rawatan segera? JADI, JANGANLAH APABILA SAKIT BAHARU HENDAK KE HOSPITAL, APABILA RUMAH DIPECAH MASUK BAHARU HENDAK KE BALAI POLIS, APABILA RUMAH TERBAKAR BAHARU HENDAK KE BALAI BOMBA, DAN YANG PALING PENTING HIDUP KITA INI JANGANLAH MENJADI SEORANG YANG KERA SUMBANG!!

Catatan Perjalanan oleh:
Zaril Faizal Zaral Gaffar
Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

terapi jiwa

terapi jiwa




My Blog List

@forest dweller

@forest dweller